Friday, May 25, 2012










Anologi Nyamuk dan Harimau.
 Bayangkan seekor harimau dengan ganasnya menerkam masuk ke dalam rumah kita. Aummm!!!

Gigi-giginya menyeringai. Kuku-kukunya tajam mencengkam. Lalu, apa yang terjadi? Sudah tentu ada di antara kita yang bertempiaran lari, menjerit, bertakbir, menyorok di bawah katil, mengunci diri di dalam bilik mandi dan ada juga yang pengsan terus.

Bayangkan pula seekor nyamuk terbang masuk ke dalam rumah kita.

Nggg!!!

Apa yang terjadi? Hmm, ia terbang bebas ke hulu, ke hilir. Ramai yang buat tidak hairan sahaja. Apalah yang perlu ditakutkan pada seekor nyamuk, hati berbisik. Cuma seekor.

Selalunya begitu, semua orang takut kepada perkara yang besar kerana ia kelihatan berbahaya namun tidak takut kepada perkara yang kecil. Sedangkan, jika ingin dibandingkan nisbah orang yang mati dibaham harimau dengan orang yang mati digigit nyamuk, mana lebih ramai?

Bandingan mudahnya, berapa kali setahun secara anggarannya akhbar memaparkan berita tentang orang yang menjadi mangsa Pak Belang?

Berapa kali pula dilaporkan berita tentang penyakit demam denggi, demam malaria, Japanese Encephalitis, kaki untut dan sebagainya yang semuanya berpunca daripada gigitan nyamuk?

Begitulah analogi yang boleh dikaitkan dengan fenomena zina pada hari ini. Semua orang takut dan benci berzina. Ia dianggap perkara besar dan berbahaya.

Namun ramai orang yang tidak takut pada perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina. Ia sering dianggap kecil dan dipandang remeh. Tiada sensitiviti untuk berhati-hati dengannya. Akibatnya, yang kecil ini membawa kepada kemusnahan besar dalam hidup seseorang.

Setiap dosa besar bermula daripada dosa kecil. Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati. Tidak hairanlah Rasulullah SAW dan generasi salafussoleh amat berhati-hati menjaga hati dengan memperbanyakkan istighfar setiap hari meskipun mereka bukanlah ahli dosa.

Dari al-Agharr bin Yasar al-Muzani radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Wahai sekalian manusia, bertaubat dan minta ampunlah (istighfar) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah seratus kali setiap hari."
(HR. Muslim)

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia yang senantiasa bertaubat beristighfar kepada Allah, hal ini sebagaimana hadits di atas dan juga hadits berikut ini.

"Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, dia berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:"Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih dari 70 kali."
(HR.Bukhari)

Tidak hairanlah al-Quran menyuruh berawas pada perkara yang dianggap kecil itu. Firman Allah SWT, "Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan." 
(Surah al-Isra': 32).

Nyamuk-nyamuk Ikhtilat

Sms tanpa  urusan, call tanpa urusan, dating tanpa mahram, chatting tanpa urusan dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah antara jalan-jalan menghampiri zina. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.
Teknologi tidak salah. Tapi manusialah yang suka menggunakannya dengan tujuan yang salah. Berurusan atau bermuamalat dengan lawan jenis menggunakan teknologi-teknologi ini bukannya salah. Tapi manusia suka menggunakannya untuk bergaul bebas atau berikhtilat.




Apa itu ikhtilat?
Ikhtilath ada maksudnya dari segi bahasa dan istilah. Dalam Bahasa Arab, ikhtilath sering dirujuk sebagai sesuatu yang negatif. Seperti perkataan khalwat umumnya difahami sebagai sesuatu yang negatif.
Sedangkan dari segi bahawa ikhtilat dan khalwat boleh membawa maksud yang negatif dan positif.
Ikhtilat di sini bermaksud pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa urusan. Asal pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram.

Namun jika atas dasar urusan dan kerja, maka interaksi antara lelaki dan perempuan bukan mahram menjadi harus. Ia kurang disebut sebagai ikhtilat (walaupun dari segi bahasa sebenarnya boleh juga disebut ikhtilat yang dibenarkan) sebaliknya disebutmuamalat. Kaedah syarak tentang asal hukum muamalat adalah harus iaitu al-aslu fil muamalat mubah.
Ada banyak urusan. Urusan jual beli, kerja, persatuan, pelajaran, khidmat kaunseling, dan sebagainya. Semua ini urusan. Ianya harus. Namun, ianya bergantung juga pada niat hati masing-masing.

Ini disokong pula oleh kaedah syarak yang menyebut, al-darurah tubiihul mahzurat bermaksud darurat membolehkan apa yang dilarang. Urusan antara lelaki dan perempuan pada hari ini tidak dapat dinafikan adalah suatu keperluan atau disebut darurat.

Namun, pembolehan ini tidak dilepaskan sebebas-bebasnya, sebaliknya, ada adab,akhlak dan batasan yang memagarinya. Kaedah syarak yang lain menyebut, al-dorurah tuqaddar biqadariha bermaksud darurat diukur dengan kadarnya.

Masalahnya, ramai orang yang menjadikan urusan satu alasan untuk menghalalkan ikhtilat yang terlarang.Call, sms, dating, chatting berbaur peribadi yang diselit dicelah-celah urusan kian membarah sebagai budaya. Sekadar ingin bertanya,

Dah makan ke?

Tengah  buat apa tu?

Esok nak pakai baju warna apa?

Dah tidur ke?

Adakah  ini dikatakan urusan? Manusia tidak berhak menghukum hati sesiapa, bertanyalah sendiri kepada Pencipta hati masing-masing. Mungkin benar adanya urusan di sebalik pertanyaan-pertanyaan seperti ini bergantung kepada niat. Wallahua'lam. Kita hanya melihat luaran, Allah lebih  tahu maksud dalaman.





Apakah sebenarnya yang dimaksudkan urusan?

Urusan adalah sesuatu yang apabila kita bentangkan depan Allah SWT, kita yakin kita mampu jawab dan berhujah depan Allah bahawa ia adalah urusan, maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa was-was samada ia suatu urusan atau tidak, maka berawaslah.

Sabda Rasulullah SAW,

Daripada al-Nawwas ibn Sam'aan r.a. daripada Nabi SAW baginda bersabda:  "Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya. 
(Hadis riwayat al-lmam Muslim)

Dan daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu. Baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu. (Hadis Hasan riwayat al-lmam Ahmad dan al-Daarimie dengan isnad yang baik).




Cinta Fitnah

Cinta yang asalnya suci dan bersih di hati setiap insan boleh tercemar apabila disalurkan dengan jalan-jalan yang mendekati zina. Berkata Prof. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi apabila ditanya tentang bercinta sebelum bernikah, "Saya ingin tegaskan kembali apa yang selalu saya katakan, saya tidak memuji apa yang dilaungkan segolongan orang tentang pentingnya bercinta sebelum bernikah, kerana cara seperti ini dikhuatirkan berbahaya dan syubhat." (Rujuk buku Wanita dalam Fikih al-Qaradhawi).

Katanya lagi, "Banyak orang yang memulakan cara bercinta dengan cara yang tidak benar, seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan bicara yang sia-sia. Ia seringkali dilakukan oleh anak-anak muda ketika menikmati waktu kosong atau bosan. Berpacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh remaja puteri, dan ini biasanya yang sering terjadi dalam keluarga, tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh remaja putera mahupun remaja puteri. Awalnya memang cuba-cuba tapi kemudiaannya ketagihan. Awalnya bercanda tetapi akhirnya serius."

Menghampiri zina semakin menjadi trend muda-mudi malah orang dewasa sekalipun. Rasulullah SAW mengingatkan:

"Kecintaan kamu kepada sesuatu boleh membuatkan kamu buta dan tuli." 
(Riwayat Ahmad).

Soal cinta amat akrab dengan soal hati.  Oleh sebab  itulah hati perlu  berada dalam keadaan sentiasa berhati-hati dengan memperbanyakkan istighfar. Bimbang rasa suka, cinta  dan sayang yang suci itu terheret  menjadi rasa ingin sms selalu, call selalu, jumpa selalu. Seterusnya, hati yang menjadi raja kepada jasad boleh mengarah anggota  badan  seperti lidah,  tangan,  kaki, mulut dan telinga, bertindak sesuatu secara salah. Ketika inilah fitrah menjadi fitnah.

Amat jarang kedengaran pergaulan antara lelaki dan perempuan bermula dengan perbuatan yang 'berat-berat' terus. Ia biasanya dimulai dengan yang 'ringan-ringan' dahulu atau yang disebut sebagai menghampiri zina.


Ingat pesan Nabi,!!!!!!
  • Mata itu berzina dan zinanya adalah memandang (tanpa keperluan),



  • Lisan itu berzina dan zinanya adalah bercakap (yang sia-sia, lucah dan sebagainya),


  • Kaki itu berzina dan zinanya adalah melangkah (untuk bermaksiat),


  • Tangan itu berzina dan zinanya ialah merangkul (untuk bermaksiat),


  • Hati itu berhawa dan berangan-angan,


  • Faraj membenarkan atau mendustakannya.


Dalam mengambil  sikap berhati-hati menjaga hati, kita bukan  sahaja takut hati asyik membayangkan persetubuhan luar nikah. Malah, jagalah hati daripada asyik membayangkan perkara-perkara yang menghampiri zina daripada sekecil-kecil perkara seperti berhubungan, berjumpa, berpelukan, bergeselan dan sebagainya. Jika terus dilayan, hati akan  terheret jauh dan makin jauh. Anggota badan mula tidak keruan untuk bertindak tatkala menerima tekanan rajanya.

Remaja Yang Dikagumi Allah !!!

Cinta fitnah yang tersalur dengan jalan-jalan menghampiri zina ini tidak ke mana. Orang yang memilih cara ini hanya memilih untuk disakiti dan dikecewakan samada di dunia atau di akhirat atau kedua-duanya sekali.

Allah SWT mengingatkan kita,

"Teman-teman kesayangan pada hari itu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa."

Sama-samalah menjadi remaja yang memelihara kesucian diri.  Remaja yang membina kualiti fardu Muslim insya-Allah akan dianugerahi Allah dengan Baitul Muslim. Baitul Muslim ini akan mencorakkan satu generasi masa depan yang hebat untuk membina masyarakat Muslim seterusnya negara dan khilafah.

Sabda Rasulullah SAW,

"Allah merasa takjub kepada pemuda yang tiada baginya rindu yang cenderung kepada kebodohan. 
(Riwayat Ahmad)

bila NIKahmu dItolak,,,"LA TAHZAN"






Nikah, Nikah dan Nikah, itulah persoalan yang sering bermain di fikiran mahasiswa tahun akhir,  malah remaja di  bangku persekolahan lagi sudah mula memasang impian untuk  membina rumah tangga, Benarkah begitu?

Tidak dinafikan lagi pernikahan mendapat "rating" yang tertinggi dalam soal masa depan seseorang, pernikahan juga adalah pengubat hati bagi mereka yang inginkan kebahagiaan dalam melayari arus kehidupan yang mendatang,  malah ia sudah menjadi fenomena buat pasangan bercinta untuk mendirikan rumah tangga di usia muda. Indah , bahagia dan penuh mengasyikkan bila berbicara soal ini, itulah aura penikahan.

Namun, sejauh mana kita bersedia memikul tangungjawab sebelum kata-kata penuh keramat dilafazkan?

" Aku terima nikahnya"

Sejurus terungkap kalimah penuh bermakna tersebut maka dengan sekelip mata sahaja seorang kekasih yang didambakan menjadi sah untuk dikongsi segala-galanya . Jangan hanya difikir keseronokkan apabila bunga  telah ditawan si kumbang, sebaliknya si lelaki perlu lebih bersedia dalam memikul setiap hak dan kebajikan isteri . Tidak usah terlalu memikirkan pakaian pengantin yang ingin disarungkan di hari penikahan, tidak perlu rungsing memikirkan tempat untuk berbulan madu apatah lagi terlalu menyempitkan fikiran dengan perkara remeh temeh lain, sebaliknya  bagi si suami apakah sudah bersiap sedia untuk memikul dosa si isteri yang menjadi antara saham utama untuk dipersoalkan di akhirat kelak?

"Lelaki (suami) itu pelindung bagi perempuan ( isteri) , kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki)  atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah dari hartanya"
( An-Nisa: 34)

Dewasa ini, terlalu banyak rumah tangga yang dibina berakhir dengan penceraian. Walaupun masing-masing telah diikat dengan ikatan yang sah tetapi si isteri dibiarkan hidup tanpa bimbingan agama. Suami pula langsung tidak  mengambil peduli tangungjawab sebagai seorang pemimpin keluarga, sebaliknya hanya membiarkan keluarga dibebani dengan masalah demi masalah yang akhirnya tidak menemui jalan penyelesaian.






ROMANTIK DI USIA MUDA

Gelojak jiwa yang bergelora dek angkara menahan nafsu yang meronta-ronta sudah pasti membuatkan akal sudah tidak dapat membezakan yang manakah harus diutamakan. Apakah benar rasa seumpama ini perlu disudahi dengan pernikahan? Ataupun menghabiskan dahulu sisa-sisa semester yang masih berpanjangan?

Situasi ini sudah menjadi lumrah buat mereka yang sudah "lulus" dengan ujian yang diberikan , malah ada yang terkandas dengan "kekeliruan" ,  sekaligus membuatkan persepsi "penikahan" itu dipandang dengan penuh tanggapan buruk.

" Tiada yang lebih membahagiakan dua orang yang saling menyukai kecuali menikah"
(Riwayat suyuti)

Jika sudah saling mencintai di alam universiti tiada salahnya untuk kedua-duanya melangsungkan akad nikah bagi mengelakkan dari berlakunya fitnah. Persepsi bahawa pernikahan di usia muda hanya membawa kepada kebinasaan perlu dilontar jauh-jauh. Jika si lelaki sudah berkemampuan manakala si wanita pula telah menyatakan kesanggupan, ia merupakan satu bonus untuk pasangan itu melayari rumah tangga di usia muda.




BENARKAH SUDAH BERSEDIA ?

" Sudah 6 bulan kita mengenali hati budi masing-masing, boleh kita tamatkan dengan sebuah ikatan'? ujar si akhi

"Emm..mengapa terlalu awal? Rasanya elok kita betul-betul kenal antara satu sama lain" balas si ukhti.

Saban hari , sudah ramai yang terjebak dalam alam percintaan yang datang tanpa mengundang.

Begitupun, masih ada yang sedar bertapa sebuah hubungan yang berpanjangan tanpa ikatan bakal mengundang padah . Membiarkan perasaan syahwat berleluasa dalam hati hanya "melincinkan"  tugasan si syaitan yang menakluk hati yang asalnya diciptakan untuk melebihkan Allah dari segala-galanya.

Tetapi sayang, langit tidak selalunya cerah kadang-kala mendungnya terus berpanjangan, ditambah pula dengan hujan lebat dari langit yang disertai kegelapan, petir dan kilat hanya membuatkan sesebuah hubungan itu terlalu sukar untuk diteruskan. Harapan untuk mengakhiri sesebuah ikatan dengan sekurang-kurangnya dengan tali pertungan ditolak mentah-mentah dengan pelbagai alasan.

Saat itu , jalan keluar ibarat sudah tertutup. Harapan yang bakal membawa kepada kebahagiaan hanya mengundang rasa kekecewaan dan kesedihan.Akhirnya kita dapat melihat bertapa mudah jiwa anak muda islam hancur hanya kerana bahana cinta!

Siapa sebenarnya yang tidak bersedia dalam hal ini? Jawapanya mudah. Sekiranya belum bersedia mengapa berani melafazkan cinta? Mengapa juga berani "menerima" cinta ? akibatnya ramailah yang tidak berjaya mengakhiri hubungan dengan ikatan sekaligus membuatkan hati dihimpit dengan tekanan , jiwa terus dibunuh rasa sesal yang berpanjangan sekaligus merosakkan hati yang perlu  segera diberikan rawatan.




HAKIKAT SEBENAR KEBAHAGIAAN

Kisah Yang dikongsi oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin dalam bukunya iaitu " Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul" benar-benar meninggalkan kesan kepada pembaca. Buku yang Mengisahkan bagaimana cinta yang diperhalusi dengan batas-batas syariat dari awal perkenalan hingga di hari pernikahan benar-benar mewujudkan rasa kerdil dalam diri. Itu mungkin kata-kata pembaca yang masih selamat dari jerangkap cinta. Namun ,bagaimanakah nasib mereka di luar sana yang tanpa diduga dihimpit dengan fitnah cinta? Niat pada awal perkenalan ingin menjadikan si dia sebagai pasangan hidup tetapi sebaliknya berlaku. Masih adakah ikhtiar untuk keluar dari situasi sedemikian?

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira"
( Surah Az-Zumar : 10)

Resipi menuju kebahagian itu konsepnya sama dengan mujahadah dalam perjuangan. Tatkala hidup inginkan keredhaan semakin itulah diri kuat diduga. Semua itu adalah kerana Allah ingin mematangkan kita dengan setiap dugaan tadi. Dakwah nabi dan para sahabat juga penuh dengan ranjau yang berduri. Bersusah payah demi islam tercinta sehingga sanggup mengorbankan nyawa di medan perang antara ujian untuk para kekasih Allah.

Mereka tahu islam akan bertapak di dunia dengan penuh gemilang, meraka yakin kemenangan telah dijanjikan dalam al-quran tetapi masih kuat berusaha untuk menempuh setiap ujian yang diberikan. Semuanya hanya kerana mereka yakin dengan satu perkara. Yakin bahawa resipi untuk bertemu kemenangan dan kebahagian hanya dengan menyusuri kesukaran pada mulanya.

Jangan sesekali berasa kecewa apabila ianya tidak berakhir dengan keinginan hati. Sebaliknya bangunlah dari terus dihimpit dengan kesesalan yang sia-sia. Terimalah setiap takdir dengan hati yang terbuka. Walaupun setiap perkara telah diusahakan namun bersyukurlah kerana sekurang-kurangnya usaha telah dilakukan demi mencapai "status" hubungan yang diredhai Syarak. Musyawarah diantara kedua-dua belah pihak amat digalakkan bagi mengelakkan rasa kurang senang dan sifat dendam. Sebaik-baiknya Musyawarah dilakukan dengan pembabitan orang tua kedua-dua belah pihak. Lebih manis dan barakah, sudah pasti dihiasi dengan rahmat dari Allah.

Buat mereka yang masih dilanda dengan rasa keliru  hayatilah firman Allah di bawah ini semoga ianya bakal mengubat hati yang resah menjadi hati yang tenang lagi diredhai.

"Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah maka janganlah kamu meminta ia disegerakan"  
( Surah An-Nahl : 1)

Hakikat diuji dengan dugaan sememangnya menyakitkan, Ianya menyakitkan buat jiwa yang tidak mengerti erti syukur. Allah menguji tanda sayang, tanda kita dalam perhatian , Jadi andai kemahuan kita tidak ditunaikan tidak semestinya doa tidak dimakbulkan. Sebaliknya mungkin kita terlalu tergesa-gesa dalam mencapai impian ,sedangkan diri masih belum terkial-kial untuk mengharungi langkah seterusnya tanpa sebarang persediaan. Wallahualam.

khabar cinta dari syurga











KETANDUSAN KASIH DAN AKIBATNYA

Meskipun saya hanya paparkan dua kisah contoh tentang penghuni di pusat pemulihan akhlak tersebut, hakikatnya hampir semua penghuni pusat itu kisah hidupnya mempunyai satu persamaan : mereka menderita justeru ketandusan kasih. Kesemua mereka terjebak dalam kancah maksiat kerana dahagakan kasih sayang, tenggelam punca kerana terasa diri tidak dikasihi, dicintai dan disayangi.


Tidak kira dari ibu bapa atau sesiapa sahaja. Bila terasa dirinya tidak dihargai, mulalah mencari sumber cinta dari luar. Hal ini berlaku terutamanya bagi golongan remaja. Bila meningkat remaja, yang lelaki menagih cinta dari remaja wanita dan begitulah sebaliknya.

Perkataan CINTA hanya lima huruf dan dua suku kata. Namun pengaruhnya cukup berat dalam kehidupan setiap insan. Saya masih ingat kata-kata pujangga yang dicoret seorang kakak senior dalam buku autograf saya sebelum menamatkan persekolahan dahulu. Coretannya berbunyi begini: "To love is nothing; to be loved is something. But to love and be loved is everything."

Alangkah indahnya hidup ini apabila orang yang kita cintai membalas cinta kita. Hari-hari yang dilalui terasa sempurna dan bahagia. Alangkah bertuahnya anda yang berjaya menemui pasangan sehinggakan saling cinta mencintai setulus hati seumur hidup. Namun, bagaimanakah kita boleh menemui cinta yang luhur dan sejati ini? Jawabnya, dengan mencintai seseorang semata-mata kerana Allah.

Saya masih ingat, kali pertama saya mendengar kalimah "Biarlah semua yang kita lakukan itu kerana Allah. Hatta cinta sekalipun, jika mencintai seseorang biarlah semata-mata kerana Allah,"saya termenung sejenak. Terasa kabur dan sukar difahami. Namun jauh di lubuk hati, saya yakin inilah cinta yang lebih baik, bermanfaat dan yang Allah mahu kita praktikkan. Apa ertinya mencintai seseorang kerana Allah , tidak kira sama ada orang yang dicintai itu sahabat, ibu atau bapa, anak, suami atau isteri? Mungkin paparan peristiwa di bawah boleh membantu kita memahaminya.





KISAH SETEGUK AIR

Dalam Peperangan Yarmuk, seorang pembawa air tercari-cari pejuang Islam yang mungkin memerlukan air. Akhirnya beliau menjumpai seorang pejuang yang cedera parah dan mengerang kesakitan. Namun belum sempat pembawa air ini menyuakan air ke bibir pejuang ini, tedengar rintihan seorang pejuang lain yang berteriak "Air! Air! Berikanlah saya air!"

Pejuang pertama yang sedang nazak mengisyaratkan kepada pembawa air untuk meninggalkannya dan memberikan air tersebut kepada pejuang kedua. Pembawa air ini bergegas kepada pejuang kedua yang juga berlumuran darah dan nyata tipis peluangnya untuk hidup. Namun belum sempat pejuang kedua ini meneguk air yang dibawakan kepadanya, terdengar teriakan "Air! Air! Berikanlah saya air!" daripada pejuang ketiga.

Pejuang kedua juga mengisyaratkan kepada pembawa air ini untuk segera memberi air kepada orang ketiga yang berteriak tadi. Namun sesampainya pembawa air ini kepada pejuang ketiga dan belum sempat dia memberi air kepadanya, pejuang tersebut yang sedang nazak juga menghembuskan nafas yang terakhir. Pembawa air ini bergegas kepada pejuang kedua tadi, tapi dia pun telah mati syahid juga. Dia bergegas ke pejuang pertama, tapi pejuang pertama itu pun sudah meninggal dunia. Menitis air mata si pembawa air tadi bila menyedari betapa tiga orang pejuang ini sanggup mengorbankan keperluan masing-masing demi orang lain!

(Saya sengaja tidak menyebut nama-nama pejuang dan pembawa air dalam kisah di atas kerana beberapa sumber yang saya rujuk memberikan nama-nama yang berlainan. Harap sudi perbetulkan jika saya silap di sini.)

Paparan kisah seteguk air di atas menunjukkan beberapa ciri cinta kerana Allah, iaitu:

- Memahami bahawa orang yang kita cintai itu milik Allah dan dia boleh diambil olehNya pada bila-bila masa

- Bila kita mencintai seseorang kerana Allah, kita mementingkan dirinya lebih daripada diri kita sendiri meskipun ini    bermakna kita mengetepikan keperluan peribadi. Relevannya poin ini kerana dunia sekarang amat menitikberatkan    individualisme, iaitu mementingkan diri sendiri.

Kisah seteguk air jelas menggambarkan cinta yang luhur dan sejati. Tidak kira sama ada cinta antara lelaki dan wanita, suami dan isteri, anak-anak, ibu bapa atau sahabat. Sebagai ibu bapa, kita perlu mendidik anak-anak supaya mencari cinta yang hakiki, iaitu cinta yang membawa kita ke syurga. Satu-satunya cinta yang membawa kita ke syurga ialah mencintai seseorang kerana Allah. Ia tidak mudah dilakukan, tetapi memerlukan usaha yang berterusan.


DIDIK ANAK DEKATI ALLAH DAHULU SEBELUM MENCARI JODOH

Buat ibu bapa yang anak-anaknya meningkat remaja, topik cinta adalah sesuatu yang perlu dibincangkan secara terbuka dengan anak-anak. Pengaruh budaya luar yang mendesak perhubungan bebas antara lelaki dan wanita serta naluri semula jadi untuk mencari pasangan mewajibkan kita untuk tidak mengabaikan perkara ini. Keinginan untuk hidup berpasangan sememangnya dititipkan dalam jiwa setiap insan. Keinginan mempunyai pasangan ini lazimnya mula terasa semasa usia meningkat remaja.

Saya pernah menghadiri suatu sessi kuliah yang penceramahnya seorang lelaki muda berbangsa Greek, memeluk Islam pada usia dewasa. Menariknya dalam kuliah ini, beliau berkongsi cerita tentang bagaimana beliau menemui isterinya, seorang wanita Islam dari Malaysia. Katanya, selepas memeluk Islam, beliau meninggalkan cara hidup lama, tidak lagi mahu ada teman wanita.

Sebaliknya beliau berpegang kepada prinsip, "Find Allah and he or she will find you." Maksudnya,"Carilah Allah dan anda akan temui gadis atau jejaka idaman hatimu." Betapa indahnya konsep ini! Saya kira ini bermakna, jika kita hendak mencari suami atau isteri yang paling sesuai, dekatkanlah diri dengan Allah dan yakinlah bahawa Dia akan pertemukan kita dengan jejaka atau gadis yang secocok dengan kita. Inilah konsep yang amat perlu diterapkan dalam jiwa remaja anak-anak dan diri kita sendiri, iaitu :

- Cinta yang hakiki, iaitu cinta yang membawa kita ke syurga bermula dengan cinta kepada Allah. Dari sinilah terbitnya cinta kepada orang lain seperti cinta kepada ibu bapa, suami, anak-anak dan sahabat.

- Cinta yang membawa ke syurga antara lelaki dan wanita ialah apabila pasangan lelaki dan wanita ini mencintai satu sama lain semata-mata kerana Allah. Ini bermakna, mendirikan rumahtangga dengan niat untuk mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. yang amat digalakkan oleh Islam.

- Bila suami isteri mencintai satu sama lain kerana Allah, jika timbul konflik, masing-masing tidak egoistik, kedua-duanya akan merujuk kepada AlQuran dan Sunnah dan lebih mudah untuk maaf memaafkan. Dengan itu, perbezaan pendapat ini tidak memanjang menjadi suatu pertelingkahan yang besar dan dapat dibendung dan diselesaikan dengan baik.

Sehingga si suami bertanggapan isterinya sentiasa mendahulukan kepentingannnya dan si isteri pula merasakan dialah wanita yang bertakhta di hati suaminya. Redhanya suami kepada isteri dan isteri kepada suami ini pada hemat saya adalah satu cara untuk kita menambah saham akhirat dan satu lagi langkah mendekatkan kita kepada Allah dan syurgaNya.

Wallahua'lam.