Thursday, October 25, 2012

Saat Aku Bernikah (part 2)


Hikmah Di Sebalik Merahsiakan
Seronok melihat sahabat-sahabat yang sudah melangkah ke hadapan. Ada yang sudah bertunang. Ada yang sudah bernikah. Masing-masing berusaha untuk melengkapkan sebahagian daripada agamanya. Namun, harus diingat adab dalam bertunang dan bernikah.



Cubalah sebaik mungkin untuk merahsiakan pertunangan. Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud;

"Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan"
(Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu 'anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa' al-Ghalil)

"Kenapa nak perlu sorok pula. Aku buat benda baik. Bertunang. Nak kena heboh kat FB ni. Tukar status 'single' kepada 'engaged'."
Tidak menjadi masalah. Siapalah aku untuk menghalang dan mengatakannya perbuatan yang salah. Minta fatwa hati masing-masing. Jika dirasakan wajar untuk menghebahkan pertunangan, maka teruskan.
Namun, harus diteliti hikmah disebalik apa yang nabi ingatkan pada kita.


Kenapa perlu rahsiakan pertunangan?


1) First!!

Perlu diingat bahawa bertunang bukanlah sebagai 'lesen' untuk membawa anak dara orang lain 'dating'. Ke hulu ke hilir. Dia tetap bukan mahram bagi kita. Elakkan keluar berdua, melainkan bersama mahram.

2) kedua!! 

Bertunang tidak semestinya membawa ke arah pernikahan. Ada sahaja yang bertunang, tetapi putus di tengah jalan. Nauzubillah. Bayangkan jika kita sudah heboh kepada satu dunia bahawa kita sudah bertunang. Tidak lama selepas itu, kita putus tunang disebabkan tidak sehaluan. Bukankah perkara tersebut mengaibkan, kerana pertunangan sudah heboh? Mungkin silaturrahim antara dua keluarga juga terjejas. Dihasut dan diapikan oleh orang luar.
Ada hikmah disebalik merahsiakan pertunangan. Jika putus ditengah jalan, sekurang-kurangnya hanya ahli keluarga sahaja yang tahu. Lebih kecil mudaratnya.
"Hmm, boleh ke tidak, kalau nak berhubung dengan tunang?"
Tidak menjadi masalah. Perlu berhubung, untuk urusan yang menjurus ke arah pernikahan. Penting untuk saling berbincang. Tetapi, jangan sampai berlebih-lebihan!
Jangan biarkan urusan menjadi alasan. Syaitan terlalu pandai dalam tipu daya.
"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)"
(Surah al-A'raaf ayat 201)
Namun, ada juga golongan yang tegas dalam isu ini.
"Kita tak boleh berhubung dengan tunang kita! Kita kena jaga hati kita. Nanti zina hati. Biar ibu bapa kita sahaja yang uruskan."
Ada benar. Ada salahnya. Terpulang pada diri masing-masing. Mintalah fatwa hati.
Ustazah Fatimah Syarha pernah berkata dalam beberapa forumnya; "Apa itu urusan? Urusan adalah apa yang kita yakin boleh bentangkan hujah-hujah di hadapan Allah swt."


Masih Belum Tiba Masanya


"Hmm, aku masih belum berpunya lagi."
Hanya itu yang dapat kuungkapkan, apabila ditanya. Ramai juga yang mempersoalkan.
Aku percaya, di sebalik segala apa yang berlaku pada diriku, pasti ada hikmah. Aku sangka sudah berjumpa yang sesuai, namun mungkin bukan. Aku sangka si dia. Mungkin betul mungkin salah. Sungguh, jodoh itu rahsia Allah. Kita hanya mampu berusaha. Sedangkan yang sudah bertunang pun belum pasti bahawa itu adalah jodohnya!
Seseorang itu sememangnya jodoh kita, setelah terlafaznya akad nikah. Ya, setelah akad nikah. Bukannya setelah bertunang kerana hakikat pertunangan itu bukanlah suatu jaminan. 
Tidak perlu aku cerita kisah hidupku. Dikhuatiri membuka aib pula. Aku juga bukanlah manusia yang sempurna. Allah sedang memberi peringatan kepadaku. Persiapkan diri! Maka Allah akan berikan yang terbaik untuk aku!
Malang bagi manusia yang sibuk menerjah dalam percintaan terlebih dahulu, tetapi tidak mahu sibuk mempersiapkan diri ke arah pembinaan baitul muslim.
Justeru, pesan untuk dirku dan sahabat semua, lengkapkan diri dengan ilmu agama. Memperbaiki hubungan dengan Allah dan manusia. Bagiku, mempersiapkan diri lebih penting daripada asyik sibuk mencari calon yang sesuai.
Tidak dinafikan. Kadangkala, pernah juga terlintas dalam fikiran
"Memilih sangat ke aku ni?"
Ya. Aku mengaku. Tapi, kenapa aku memilih?
"Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan"
(Surah al-Balad ayat 10-11)
Nak cari teman wanita? Senang.
Nak cari girlfriend? Senang.

Caranya?
Pastikan anda berduit, dan mempunyai rupa paras, maka anda sudah mempunyai pakej!
Tetapi mencari seorang wanita solehah, untuk dijadikan sebagai zaujah atau isteri, yang sanggup susah senang bersama-sama. Yang di kala suaminya mempunyai masalah, dia sentiasa mendokong dari belakang. Memberikan semangat.

Mungkin sukar.
Aku bukannya mencari isteri untuk bersama-sama dengannya dalam masa satu hari sahaja, iaitu ketika majlis perkahwinan. Seronok mengambil gambar bersama isteri di majlis perkahwinan. Boleh 'update status FB' daripada 'single' kepada 'married'. Ramai orang 'like' dan 'comment'. Seolah-olah menjadi selebriti secara tiba-tiba. Seminggu kemudian, sudah sepi.
Maka sebab itu, aku harus memilih! Aku ingin bersamanya hingga ke syurga. Justeru, bagiku tidak salah memilih, kerana kita ada pilihan. Buruk atau baik.

Letakkan "Guideline"


"Aku rasa kau ni memilih sangat."
Pernah juga aku ditegur seorang sahabat. Aku mengambilnya sebagai kata-kata semangat. Monolog dalaman. "Bukankah dalam urusan agama kita perlu memilih?"
Aku letakkan 'guideline' yang mungkin bagi sesetengah orang, dirasakan agak melampau. Syadid. Jumud.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka............"
(Surah an-Nur ayat 24-31)

Sekali lagi aku tegaskan, aku tidak mencari zaujah yang sempurna kerana diriku juga bukan seorang yang sempurna! Masih banyak khilaf dan dosa yang dilakukan. Astaghfirullah.

Namun, tidak salah untuk meletakkan penanda aras dalam memilih.
1) Berpakaian muslimah. 
Tak semestinya seorang ustazah dan mengambil jurusan agama. Aku lebih cenderung untuk memilih zaujah yang bertudung labuh, memakai sarung tangan dan stokin, berpakaian longgar dan tidak nipis. Kenapa? Aku mempunyai fatwa hati yang tersendiri.
Bagi aku, jika dia sudah 'settle' dari segi itu, InsyaAllah dia sudah faham akan tuntutan Islam dalam menjaga batas aurat. Bermakna dia sudah mampu menguruskan dirinya dari segi aurat! Maka, lebih mudah untuk dia fokus kepada hal lain pula, seperti terlibat dalam kerja dakwah dan masyarakat, serta mendidik anak-anak.

2) Memahami bahawa aku bukanlah hak yang mutlak kepadanya.
 Aku juga mempunyai tugas dakwah yang perlu dilaksanakan. Tugas aku sebagai hamba Allah. Tugas sebagai anak kepada ibu bapa. Tugas dalam masyarakat. Mungkin aku akan sibuk untuk terlibat dengan kerja-kerja dakwah. Kerana kita hidup di dunia sebagai seorang da'ie. Jadi, aku memerlukan seorang isteri yang benar-benar memahami.
Sebenarnya, banyak lagi yang ingin ditulis. Tapi, aku kira, ini adalah yang paling penting. Tetapi, bukanlah bermaksud yang lain tidak penting!
Nabi Muhammad saw bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta kamu tetapi melihat kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu" (Hadith riwayat Muslim)
Namun, jauh disudut hati, aku sentiasa merasakan diriku tidak layak, memperisterikan seorang zaujah, seperti ciri-ciri di atas. Kenapa? Lihat sahajalah diriku. Begitu banyak dosa dan kesilapan yang pernah dilakukan.

Layakkah aku?


Aku lebih cenderung memilih seorang isteri yang sentiasa berusaha memperbaiki amalannya, daripada memilih seorang isteri yang sempurna. Takut kecewa di hari kemudian, kerana merasakan diri yang hina ini tidak layak!
"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."
(Surah al-Furqan ayat 74)
Inginkan cinta 'High Standard', kita kena persiapkan diri untuk jadi High Standard!
(ikuti sambungan Saat Aku Bernikah (Bahagian 3- akan datang)


Tersembunyi Cinta Pada Tabir Usaha



Berjalanlah dan usah sesekali berhenti kerana anggapan manusia itu tidak mampu mengubah cinta Allah kepada kita. Dan sesungguhnya hal tepatnya jodoh itu adalah kerana keindahan waktu dan sedianya kita.

"Tanda cinta itu ialah berterusan rajin dan bersungguh-sungguh dengan kerinduan." -Junaid Al-Baghdadi
Hujan itu menderas turunnya. Membasuh hati yang hampa. Mengisilah hati yang penuh berharap. Sujudnya tanpa ingkar. Derainya tak mahu dihenti. Semahunya, mungkin biar ia tamat di sejadah cinta seorang hamba. Rasa kecilnya, tak mampu untuk dihuraikan. Rasa kasihnya tak mampu dijelmakan oleh perilaku terindah. Hamba itu mengisi pilu dalam senyumnya. Pada malam yang terindah, harapnya terukir secebis taqwa.
Taqwa itu yang sering dipinta dalam hari-hari cinta. Lebam matanya sentiasa dikaburkan oleh senyum dan gelak persisi sufi di zaman Nursi dan Rumi. Biar kalian tidak mampu menjiwai. Hamba itu sentiasa menanti malam. Yang Tuhan telah janjikan. Berjalannya dalam hidup yang sentiasa dinikmati. Hanya pinta cinta dari Tuhannya.
Kerana sang kumbang itu, waham benar perihal cinta itu bersifat mua'llaq. Semoga potensi kan sentiasa berkembang. Semoga nawaitu sentiasakan bercahaya. Menanti yang tertulis. Tepatnya kerana kebersediaannya menjadikan hadirnya sebagai tulisan terindah.
Tuhan itu menjaga apa yang kita berusaha untuk menjaganya. Dan Dia temukan dengan mereka yang sentiasa yakin dan bersangka baik dengannya. Tentunya yang terpelihara itu terindah. Tentunya juga yang biasa itu terindah. Mungkin lebih terindah saat taubatnya memekar, tika setiap saatnya bernyawa. Tuhan yang menerima keindahan jiwa yang ingin memperbaiki diri. Tuhan yang sentiasa senyum pada kalimah cinta yang melebihkan-Nya berbanding dunia semata.

Agungnya cinta yang bernawaitukan Penguasa Cinta. Pemilik haqiqi manusia yang ingin dilamunkan cinta. Kerna waham yang jelas bisa merungkaikan kefasikan cinta. Bahwa cinta itu kan melenyap bersama lenyapnya sebab untuk bercinta. Qayyim yang bijaksana telah berkata. Dan itulah realiti cinta.
Berusahalah selagi termampu. Dan lupuskanlah segala cerita yang singgah dalam hidupmu. Kerna cinta kurniaan Allah itu menyentuhnya lebih terasa. Andai kenangan itu mekar hanya sebagai duri yang berada dalam jalanmu menuju ke Sana. Yang menjaga itu sungguh kuat. Yang menjaga itu seorang mukmin. Bukan lagi seorang muslim. Yang tenggelam timbulnya akhirnya bersifat sama terhadap ikhtilat sekeliling yang menyapa.
Dan malam itu larut dengan penuh damai. Maka nokhtah terukir. Tanda cinta agung memeluk erat jiwa hamba. Yang setia menanti cinta yang terpelihara. Sulitnya menjaga. Enaknya memendam air mata.
"Bahawasanya Aku apabila Aku lihat pada hati hambaKu, lantas Aku tidak mendapatkan dalam hatinya cinta pada dunia dan cinta pada akhirat, nescaya Aku penuhkan hatinya itu dari 'cintaKu' (padanya)." - Israiliyat, Allah kepada Isa a.s
 P/s :Fadhlul Rahman ( UIAM)




Wednesday, October 24, 2012

SaaT Aku Bernikah (Part 1)



Assalamualaikum kawan2 semua lama tak jumpakan?. . . . maaf dan sorry sebab sekarang masa tak mengizinkan tengku untuk mengadap internet ni so susah sikit la nak share ape2 kat blog ni. . . hehe tak ape la...ok sekarang tengku nak sharekan sedikit coretan sahabat. . . namanya aizuddin jugak hehe same dengan nama tengku...ok tanpa membuang masa lagi anda baca dan fahamlah ape yang cuba sahabat kita ini cuba sampaikan, semoga bermanfaat buat kita semua...amin :)





"Aku dah berbincang dengan parents aku. Diorang bersetuju untuk berkenalan dengan keluarga sebelah sana, hujung minggu ni".

Aku membalas dengan senyuman. Mengucapkan tahniah kepada sahabatku. Sudah melangkah lagi setapak ke hadapan. Alhamdulillah. Sebelum ini, ibu bapanya seolah-olah menghalang. Tidak bersetuju.

Antara alasan 'typical' yang digunakan ibu bapa adalah:

(1) "Nanti dah berkahwin, nak bagi anak bini makan apa? Pasir?"

Bukanlah bermaksud aku tidak bersetuju dengan pandangan sebegitu. Realitinya, kita perlukan duit dan harta, demi sesuap nasi. Berpijak dibumi yang nyata. Ibu bapa berbicara berdasarkan ilmu dan pengalaman yang mereka ada. Penat lelah membesarkan kita. Jangan dinafikan pandangan mereka. Cuba berlapang dada. Mereka ingin melihat reaksi kita; samada terus memberontak atau terus bersabar jika mereka menghalang niat suci kita. Yang mana satu pilihan kita?

Namun, jangan dilupakan apa yang telah dijanjikan Allah di dalam Al Quran;

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui."
(Surah An-Nur ayat 32)

Rezeki tu rahsia Allah. Jika seorang anak lelaki sudah berusaha untuk bekerja sambilan sambil belajar, demi menunjukkan kesungguhan dalam mencari rezeki, mengapa tidak diberikan peluang kepada anak tersebut? Tak kira sehina mana pun kerja tersebut, seperti 'cleaner' mencuci tandas. Biar hina di mata manusia, tetapi tidak hina bagi Allah. Rezeki halal. Ibu bapa juga harus pandai menilai usaha yang dilakukan anak. Jangan hanya terus menggunakan kuasa 'authoriti' tanpa memberikan peluang untuk berbincang dengan anak. Seolah-olah pandangan anak adalah 100% salah.

Namun, jika seorang anak itu tidak menunjukkan kesungguhan dalam mencari rezeki serta hanya mengharapkan duit ibu bapa, mungkin perlu difikirkan semula samada nak berikan 'green light' atau tidak kepada anak tersebut.

"Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya;..................."
(Surah An-Nur ayat 33)

Jangan hanya pandai bercinta. Soal rezeki, diserahkan kepada ibu bapa pula.


2) "Kau tu muda lagi, mana boleh berkahwin"

Soal umur. Antara perkara sensitif dalam kalangan masyarakat kita. Masyarakat begitu mudah menilai isu umur. Lebih tua dikatakan lebih matang. Lebih muda dikatakan tidak matang. Begitu hebatnya kuasa angka!

Matang bukanlah dinilai berdasarkan bilangan angka. Ada sahaja yang masih muda, tetapi berfikiran matang dan hebat dalam berbicara.




Apa definisi matang bagiku?

Matang dapat dinilai dari segi kehidupan sehariannya. Dari seawal bangun tidur, sehinggalah bersiap-siap untuk tidur semula. Perkara yang paling mudah. Adakah dia membaca doa sebelum tidur dan doa selepas bangun tidur?

Adakah dia meletakkan 'addin' atau Islam sebagai gaya hidupnya? Adakah dia melaksanakan segala perintah Allah dan tinggalkan segala larangannya? Bagaimana pula pergaulannya dalam seharian? Adakah dia sensitif dengan isu-isu semasa? Adakah dia mampu mengawal diri tatkala diri ditimpa musibah?

Jika soalan-soalan di atas dapat dijawab dengan baik, maka itulah matang bagiku.

Begitu besar definisi matang. Setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza.

"Aku dah matang sebab dah lama tak tengok kartun."

"Aku dah nak kahwin. Jadi, aku kena berubah menjadi matang."

Dalam suatu kisah, Imam Abu hanifah berjumpa dengan seorang budak. Budak tersebut kelihatan seakan-akan ingin tersadung, dek kerana selipar yang dipakainya.

Imam Abu Hanifah menegur; "Kau akan terjatuh kerana selipar itu." Imam memberikan peringatan.

Kemudian, budak tersebut menegur; "Bukankah engkau Imam Abu Hanifah?"

"Iya, akulah Imam Abu Hanifah."

Budak tersebut memberikan nasihat;

"Sekiranya aku tersadung, aku hanya akan tersadung di dunia, disebabkan selipar ini. Tetapi, sekiranya engkau wahai Imam Abu Hanifah, tersadung disebabkan jawatan engkau, engkau bukan sahaja tersadung di dunia, malah engkau juga akan tersadung di akhirat".

Imam Abu Hanifah menangis.

Subhanallah! Seorang budak menegur seorang ulama yang hebat! Tanpa mengira usia! Jika kejadian ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita, aku sudah dapat mengagak kejadian yang akan berlaku.

"Kurang ajar punya budak! Kecil-kecil lagi dah pandai menjawab!"

Begitulah realiti masyarakat kita. Terlalu merumitkan isu umur.

Sewajarnya ibu bapa perlu pandai untuk menilai kematangan seseorang anak. Perhatikan kehidupan sehariannya ketika bercuti semester di rumah.

Adakah dia ringan tulang, menolong melakukan kerja rumah? Adakah dia berkawan dengan orang yang baik-baik? Adakah dia selalu pergi menunaikan solat di masjid? Adakah dia selalu mengisi masa-masa lapang cutinya dengan perkara-perkara bermanfaat?

Jika jawapannya 'ya', maka berani aku katakan,

"Mak cik dan pak cik, berilah peluang kepada anakmu. Berbincang secara ilmiah mengenai pendiriannya untuk bernikah".

Tetapi, jika jawapannya 'tidak', maka akulah orang pertama yang akan menghalangnya untuk bernikah. Sungguh, dia belum bersedia memikul tanggungjawab untuk bernikah. Kasihan bakal isterinya!


Lakukan Step By Step

"Tapi, parents aku cakap, aku tetap kena kahwin lepas grad, insyaAllah dalam dua tahun lagi. Jadi, buat masa sekarang, aku buat apa yang termampu dulu. Kenalkan dengan ahli keluarga kedua-dua pihak."

Aku kagum dengan kematangan sahabatku dalam berfikir. Sungguhpun umurnya masih muda. Beliau melibatkan ibu bapa dalam urusan sebegini. Ada sahaja dalam kalangan sahabat aku yang 'hangat bercinta' namun apabila ingin bertemu keluarga, menolak. Aku 'anti' dengan lelaki sebegitu. Manis bicara di hadapan wanita. Tetapi tidak mahu serius dalam perhubungan. Tidak mahu berjumpa dengan ibu bapa.

Rasulullah saw bersabda:

"Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa"
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Parah apabila sudah hanyut dalam percintaan. Sanggup mengenepikan ibu bapa. Begitu mudah seorang anak melupakan jasa ibu bapa yang membesarkannya sejak kecil. Itulah kuasa cinta. Sehinggakan ada yang sanggup kahwin secara diam-diam!

Ibnu Qayyim al-jauziyah pernah mengatakan bahawa; 'cinta boleh lenyap bersama lenyapnya sebab'.

Jika kita mencintai seseorang kerana hartanya, maka hartanya akan lenyap jika muflis.

Jika kita mencintai seseorang kerana kecantikannya, maka kita akan meninggalkannya tatkala dia tua.

Jika kita mencintai seseorang kerana agamanya, maka kita akan bahagia kerana jika agamanya baik, maka secara 'automatik' cantik dan hartanya juga akan menjadi baik.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda,

"Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rancang dari awal. Lakukan step by step! Jika sudah ada calon, kenalkan dengan ibu bapa. Muliakan mereka. Maka hidup kita akan aman. Dunia mahupun akhirat.

Kepada ibu bapa, jika anakmu benar-benar bersedia, sungguhpun masih muda, mengapa tidak, untuk sama-sama berbincang dahulu? Tidak semestinya pendapat anak adalah salah. Berikan peluang untuk berbincang. Bermusyawarah dengan hati, bukan dengan nafsu.

Wallahua'lam.

~ Ikuti sambungan Saat Aku Bernikah (Bahagian 2)